Wednesday 26 December 2012

Itu mahuku



Aku mahu pejam mata kuat-kuat. Biar aku tidak dapat melihat apa yang ada dalam lingkungan keberadaan aku. Sebolehnya, aku mahu bersendiri, melayan rasa jiwa yang begitu menggilakan. Tapi, aku ini manusia paling lemah dan paling kerdil yang tidak mampu berbuat apa-apa tanpa ada kuasa Maha Besar yang menyempurnakannya. Semahu manapun aku berusaha, berlagak tiada apa, tetapi, jiwa aku tidak pernah menipu kalau dibincang soal rasa. Aku tetap dapat melihat mereka. Tertawa dan ketawa. Apatah lagi kanak-kanak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa di saat dia bertanya, aku mahu ke mana. Runtun qalbu aku bila ditanya soal itu. Beratnya mulut dan kaki untuk melangkah meninggalkan mereka semua. Aku seakan mahu menjadi gila biar tidak bisa balik ke sana. Biar aku di sini saja. Menghabiskan sisa-sisa hidup aku bersama mereka. Serik dan bosan. Itu dua kata yang boleh aku gambarkan rasa aku. Penat untuk berpergian. Beli tiket, kemas barang, angkut barang, berketawaan dan kemudian bertangisan akhirnya, aku sakit sendiri. Demi Tuhan, aku benar-benar mahu kembali kepada mereka yang telah lama aku tinggalkan selama empat belas tahun yang lalu. Aku mahu menetap bersama mereka. Itu mahuku paling atas.

Malangnya, ketika ini, aku masih perlu berdiri sendiri. Menahan tangis dari pecah. Berpura-pura masih gembira walau dalam hati aku merana.

Jiwa, jangan lagi kau terluka. Kita berdoa saja, moga-moga, satu hari nanti, takdir untuk kita tinggal bersama-sama mereka bukan lagi sekadar angan-angan yang diperjeninkan atau pun bukan lagi sekadar cerita dari mulut ke mulut dan mimpi di siang hari semata-mata.

Aku mahu PULANG.

Thursday 13 December 2012

angan-angan

Setiap hari aku menjadi seperti emas. 

Mahu dihargai apapun adanya. Kerana, selepas 2 minggu ini, aku akan berpergian meninggalkan semua apa yang aku ada di sini. Ia rasa yang begitu menyesakkan dada. Keberadaaan aku di sini begitu berharga. Aku sayangi semuanya. Kemesraan, kehangatan dan kemanjaan yang ada sudah tertanam di dalam jiwa aku. Pedihnya aku tidak mahu jiwa ini mengosong tiada apa apabila aku langkahkan kaki di sini. Biarpun, Januari yang akan datang, bisa beri aku seribu satu kemungkinan dalam hidup, aku masih berharap yang aku mampu berdiri di sini, bersama-sama jalani hidup susah senang dengan mereka. 

Tetapi, nampaknya, aku masih boleh terus berangan-angan. Terusan saja memperjeninkan setiap mimpi siangku.

Tuesday 20 November 2012

Selalu

Aku mahu kau tahu, yang setiap detik yang berlalu, aku hitung hari untuk aku melihat kamu.
Selalu.

Thursday 15 November 2012

Satu

Tubuh aku masih membeku. Otak pun seakan tepu. Cuma, jiwa aku kekal subur. Bahagia dan gembira. Alang-alang ada sengsara, aku tetap laluinya dengan senyuman di wajah. Hati, jiwa dan tubuh aku masih satu. Untuk engkau. Yang aku sayang sungguh-sungguh.

Tetaplah menunggu aku di ruang itu.



Wednesday 12 September 2012

Dalamnya kristal.

Memadailah apabila aku catatkan di sini yang kesunyian itu ibarat peneman yang paling baik untuk mentarbiah jiwa menjadi lebih tenang. Ketika hanya seberapa mereka yang memahami erti berjauhan itu adalah sakit, syukurlah aku masih mampu menerima takdir ini dengan menghela nafas segar pada setiap hari. Usah persoalkan kalau- kalau aku tidak pernah merasa bosan sendiri kerana takut-takut aku menjawab dengan membohongi jiwa sendiri untuk nampak gagah berdiri. Walaupun berjauhan, jiwa aku masih penuh dengan kasih sayang dari DIA dan dia. Alhamdulillah. Aku percaya, apabila jantung aku terus berdegup aku tahu, ada nyawa-nyawa lain yang terus memerlukan aku. Kerana itu, aku perlu jadi manusia yang hatinya batu, didalamnya kristal.

posted from Bloggeroid

Saturday 11 August 2012

Berakhir

Alhamdulillah, penantian mereka berakhir. Doa mereka dimakbulkan. Itu adalah rezeki Ramadhan yang ditunggu-tunggu sekian lama. Betapa, perasaan mereka begitu terharu dan tiada sedikit pun rasa ragu itu hadir untuk mempercayai Qada dan Qadar setelah ujian demi ujian menguji tebalnya sabar di sudut hati. Syukran Jazilan, Ya Allah atas kemurahan rezeki dariMu.

Mereka menyeka air mata syukur. Bersujud atas rahmat ini.

posted from Bloggeroid

Tuesday 24 July 2012

petanda


Dengan  nafas yang aku hirup pagi tadi, itu petanda yang aku sedang menjalankan ibadat Rukun Islam yang ke-tiga. Ketibaan Ramadhan Al-Mubarak sebenarnya aku sudah hitung beberapa purnama yang lalu. Penantian untuk menggantikan yang tidak baik kepada yang baik. Bukannya bermakna sebelum ini, aku tidak berusaha untuk membetulkan diri menjadi  yang lebih baik tetapi percubaan aku selalu saja diselang-selikan oleh faktor persekitaran yang adakalanya membuat aku terpuruk jauh berdiam diri menerima apa saja yang jadi di depan mata. Antara nafsu dan tuntutan adalah dua perkara yang berbeza. Nafsu kadang-kadang menjadi ratu di sudut hati. Klise kehidupan yang selalu jadi belenggu diri. Harap-harap, Ramadhan ini mampu jadi dinding untuk aku menambah kebaikan dan membaiki setiap kejahilan dengan konsisten sehingga lenyap tiada ketemu.

Saturday 30 June 2012

Hujan



Hujan yang turun itu tandanya Tuhan masih juga bersikap Maha Penyayang kerana Dia turunkan hujan selepas sekian lama panas teriknya matahari menjamah setiap pelusuk bumi.

Maka, tidak rugi kalau tangan ditadah sebagai tanda kita mensyukuri nikmat ini.

Senang itu ujian, susah pun ujian. Janganlah berasa yang Tuhan tidak sayang bila-bila diuji dengan rasa susah dan peritnya jalani kehidupan. Kalau asyik senang saja, boleh jadi kita semakin lupa tanggungjawab sebagai makluk dijadikan Tuhan.

Monday 25 June 2012

Selimut malam

Ketika sakit ini datang, aku hanya mahu tadah pada Mu Ya Allah, hembuskan rasa senang pada setiap ujian Mu. Berapa lama pun, aku perlu menanggung, aku mahu terus tegar menjadi tiang yang kuat berpaksikan segala kudrat yang Engkau pinjamkan. Keberadaanku di dalam lingkungan kebiasaan ini tidak pernah aku kesalkan. Walau dalam selimut malam, aku masih menangis dan terus-terusan mencari keajaiban takdirMu, hingga ada ketikanya aku mahu aliran nafas ini terhenti tetapi siapalah aku. Manusia kebiasaan yang air mata aku ini lambang hati kulit bawang yang aku miliki. Hidup dan matiku ada pada aturanMu yang telah Engkau adun cantik-cantik sebaik saja Engkau ciptakan aku. Tuhan, padaMu aku saja aku bersujud dan tunduk redha.


posted from Bloggeroid

Sunday 24 June 2012

Pulang

Kali ini pulangnya dia benar-benar mengubah setiap rasa yang tidak selesa beberapa hari yang lepas. Tangisan yang pecah ketika bangun lewat petang kerana kesunyian yang amat terasa sakitnya sekurang-kurang reda selagi dia ada. Aku tidak pernah mahu lelah walau sebenarnya kami sudah cukup penat untuk bertatap wajah pada ketika hari kelima, ke-enam dan ke-tujuh dalam seminggu. Kata orang, 'ala bisa tegal biasa'. Dan, aku sudah cukup arif untuk menjawab soalan mereka-mereka yang aku positifkan diri untuk menerima soalan mereka; apa yang akan aku lakukan keseorangan apabila dia tiada.

Terima kasih Tuhan kerana masih begitu baik memberi nikmat hidup untuk aku dan dia. Setidak-tidaknya, kami masih boleh meraih pahala dari-Mu hasil dari pertemuan-pertemuan singkat ini.


posted from Bloggeroid

Tuesday 19 June 2012

Mendesak




Kau tahu, ketika ingatan aku telus kepada dia, badan aku bergegar menahan rasa. Bahu aku terhinjut-hinjut agar tiada suara yang terpecah. Bibir aku ketap sekuat-kuatnya supaya air mata aku tetap di takungan itu. Tetapi, hati aku ini terlalu mendesak untuk jiwa  meraung kepayahan. Lalu, tiada lagi yang mampu aku seka  selain dari titik-titik air dari mata yang memerah. Rupanya, dia merasa apa yang aku rasa. Sebak suaranya masih terngiang-ngiang di telinga sewaktu perbualan kami di corong telefon sejam yang lalu,

* Ibu, anakmu ini rindu *

Saturday 16 June 2012

pembohong paling besar



Pertama kali berjumpa dengannya, dari jauh, dia lirikan senyuman yang manisnya seperti punya seorang kawan yang pernah aku kenal. Raut wajah dan bentuk tubuhnya  benar-benar serupa seperti mereka adalah kembar seiras. Sayangnya, kawan itu sudah tiada. Dia pergi begitu saja. Dan yang lebih malangnya, ikatan kawan itu berakhir kerana  seorang lelaki yang kononnya pencinta perempuan tetapi sebenarnya pembohong paling besar.

***Kalau pada kehidupan ini, kita masih belum dapat bersua muka, moga-moga, pada kehidupan kedua kelak kita akan berkawan semula. Aku sudah maafkan segala-galanya;

Tuesday 12 June 2012

Persetankan



Ini bukan pengecut. Tapi, pada saat ini, dia mahu ada sakti yang mampu menukarkan wajah-wajah yang pernah memberi palitan ngeri di sudut hatinya itu agar terus padam dari kotak ingatan. Dia tidak pernah mengingat tetapi manusia di dalam lingkungannya sentiasa ada talian dengan wajah-wajah itu. Dia bukan membenci cuma, dia merasa satu kekesalan yang paling besar pernah dia lakukan di dalam hidup apabila salah langkah mengenal manusia seperti wajah-wajah mereka. Ia tiada lagi mengingat yang indah kerana yang indah itu adalah satu perkara yang dia mahu persetankan selama hayatnya.

Monday 11 June 2012

Buta



Sebelas hari berada dalam pertengahan bulan ke-enam tahun dua ribu dua belas. Masih ada banyak sasaran untuk dicapai. Pelbagai perubahan lagi perlu dilakukan. Anjakan paradigma harus jadi teman di sini. Kalau satu persatu kelemahan ini mampu diatasi dan setiap inci kekuatan ini dapat diperguna sebaiknya, aku merasa sudah tentu kehidupan yang akan berakhir setidak-tidaknya pada hujung tahun ini akan jadi banyak indah untuk dikenang-kenangkan. Makanya, aku perlu buka mata seluas-luasnya melihat setiap anugerah yang Tuhan sudah aturkan pada aku dengan segenap perasaan positif.

Moga saja mata aku ini tidak pernah menjadi buta.

Friday 8 June 2012

aku mahu nikahi kau



Ada ketikanya kau akan meragui akan sebuah ketulusan,
Kau akan menunggu satu komitmen untu dia kata, ' aku mahu nikahi kau',
Tapi, kau ibarat belum berjumpa tuah, sering saja kau hampa,
Tiada kata pun yang kau nantikan itu,
Jadi, tiba masanya kau bertanya pada hati kecil kau sendiri,
Bukan pada hati besar kerana hati kecil tidak pernah untuk menipu diri,
Kau lapangkan hati, pejamkan mata, 
rasakan sendiri dengan mata hati kau yang paling tajam,
Semua kata-kata dan tingkah lakunya selama sehayat kau bersama-sama,
Kau ingat saja ini:
Mereka yang benar-benar mahukan kau adalah mereka yang tidak akan menanguhkan perkara yang baik dan sehayat dia akan menjaga hati kau sebaik-baiknya.

Friday 1 June 2012

Jiwa



Aku bersungguh mahu kau selamanya ada di sini,
Di saat jiwa aku masih merapuh,
Kau akan tetap berkunjung di setiap sudut hati aku.

Hati aku mengharapkan kuntuman bunga dari syurga jatuh berterbangan menghias kamar hati.
Dan itu, aku umpamakan adalah kau.

Tiada sudahnya kasih- Episod terakhir



Aku tutup pintu hati aku rapat-rapat untuk kau.
Selama aku berhidup, cukup sudah aku diluka,
Aku sudah puas dengan belati-belati kecil yang kau hiris setiap genap ruang hati aku,
Kau selalu ingat, aku akan terus mengalah kerana aku selalu dan teramat cinta akan kau,
Jangan kau lupa, aku juga lahir sebagai manusia yang tiada sempurna,
Setabah aku pun, aku masih mahu bergelar manusia bermaruah,
Yang mampu berhidup sendiri,
Tanpa kau, manusia yang tiada pernah tahu apa itu erti jujur,

Sudahlah,
Aku tinggalkan kau dengan lambaian terakhir ini,
Kalau satu hari nanti kau ternampak aku,
Kau anggap saja yang aku ini umpama angin yang sedang berlalu,
Hanya terasa di lapisan kulit,
Bukan dari sudut hati yang cebisannya kau pernah bagi dulu.

Aku cukup-cukup perlu jalani hidup walaupun tanpa kau.
Kerana aku masih ada mereka-mereka yang lain,
lebih penting dari terus menunggu kau yang datang dan perginya sesuka hati.


Ikhlas dari hati kecil,

Adelene

** Adli terduduk. Menyandar tidak bermaya. Katanya,"'kalaulah saja aku tidak mensia-siakan dia, sudah tentu aku sudah bahagia di sisinya,". Dia menutup dengan lemah cebisan kertas putih yang terselit di dalam kad jemputan perkahwinan Adelene. Matanya mulai basah. Dipejamnya erat-erat, beribu penyesalan bergumpal-gumpal di dalam dirinya. Betapa menyesalnya dia membiarkan Adelene. Dan sekarang, apa yang dikejarnya tidak dapat, yang dikendongnya berciciran. Dia sedang merasa betapa sakitnya hati dan merananya jiwa bila dia diperlaku sebagaimana dia memperlakukan Adelene. Dia buta. Buta semuanya.

** Tamat**



Monday 2 April 2012

Tiada sudahnya kasih part 3

Adli mengerling jam Guess di pergelangan tangan kanannya. 5 minit sudah berlalu. Dia telah terpacak di situ awal dari selalu dan yang dia hairankan ialah tentang kelibat Adelena yang masih belum muncul lagi. 'Selalunya dia yang awal datang'. Getus hati kecicl Adli. Menunggu Adelena sampai bagaikan satu penantian yang dia rasa sangat lama. Dia membaling batu kecil sekuat hati ke arah pertengahan tasik.

'Assalamualaikum, Adli'. Adelene menyapa Adli dan duduk di sisinya. Adli tersenyum biarpun ada getar di hatinya. Bau minyak wangi beautiful milik Adlene menusuk hidungnya. Sememangnya 6 tahun berlalu, Adlene masih setia dengan bau wangi itu. Lembut dan ia mengingatkan Adli tentang watak Adlene yang lembut tapi penuh dengan ketegasan.

'Walaikumsalam Len. Pasal apa lambat sangat ni?', ujar Adli sambil merenung mata Adlene
Adlene melarikan anak matanya. Tidak mahu dia menatap mata lelaki ini lama-lama. Dia tidak mahu keputusannya akan berubah kerana renungan yang dia selalu rindukan itu. ' Eh, Mak minta tolong Len tadi untuk temankan dia ke pasar. Kereta mak masuk bengkel'. Adlene mencari jawapan untuk alasan yang paling tepat agar tidak dicurigai oleh Adli. Dia sememangnya sengaja datang lambat  dan bukan seperti selalu supaya dia dapat bertenang apabila berdepan dengan Adli. Sebulan dia menyimpan perasaan dan kini dia sudah yakin dengan keputusannya.

'Ad, Len tak nak lama-lama di sini. Len nak berterus terang dengan Ad.' Adlene menarik nafas. Ada yang tersekat di kerongkongnya. Adli memandang Adlene, dia seperti tahu apa yang bakal diucapkan oleh Adlene. ' Apa dia Len?'. Lembuat suara Adli sampai ke telinga Adelene. Dia berdiri dan menghadap ke arah Adelene.

' Ad, Len dah ambi keputusan. Len dah fikir benda ni masak-masak. Len harap Ad tak akan halang Ad lagi. Ad, Len nak tamatkan hubungan kita setakat ini saja..'Ujar Adelene dengan penuh usaha untuk mengekang daripada airmatanya jatuh.

Adli terkejut. Tidak disangkanya gadis di hadapannya ini mengambil keputusan seperti itu. ' Len, kenapa ambil keputusan macam ni? Len, Len kan tau yang Ad sayangkan Len.' Tersekat-sekat Adli mengeluarkan kata-kata. Ada debar yang tidak terucap di hatinya. Dia ingatkan Adelene akan tetap menunggunya seperti dulu.

'Bukan sayang namanya Adli kalau Ad ada hubungan dengan perempuan lain. Itu tidak jujur namanya Ad. Len sudah tidak mampu lagi berdepan dengan semua ini. Bertahun Len tunggu Ad. Len buat tak kisah apapun bila Ad selalu curang dengan Ad dan lansung tidak pernah fikirkan perasaaan Len. Bila Ad buat salah, Ad mengaku salah tapi lepas tu Ad buat lagi. Sampai bila kita nak jadi macam ini Ad? Jadi, Len sudah ambil keputusan, Len putuskan hubungan kita sampai di sini dan Ad jangan cari Len lagi.' Panjang lebar Len mengatur kata untuk Adli. Dia sudah nekad. Apa yang jadi, jadilah.

Adli terduduk. Hilang kata untuk diucap lagi dengan Adelene. Memang betul dia ada hubungan dengan perempuan lain. Bukan setakat Diana, Farah, Lela dan Sofia pun pernah jadi kekasih gelapnya. Cuma, Adlene begitu tabah untuk menunggu dia dan kerana sikap Adlene yang selalu menunggu dan sangat sabar itulah sukar baginya melepaskan Adlene dari dulu. Adlene bukan saja bijak malah sangat penyayang.

' Janganlah macam tu Len, Kita masih boleh bincangkan benda ni lagi. Adli tak akan tinggalkan Len', ujar Adli sambil memandang Adlene yang sudah pun berdiri membelakanginya.

'Sudahlah Ad. Cukuplah untuk semua kenangan yang Ad bagi untuk Len selama 5 tahun ini. Len akan pergi jauh dari dalam hidup Ad dan Ad boleh buat apa sahaja yang Ad mahu selepas ini tanpa perlu hiraukan Len. Terima kasih untuk segala-galanya'. Selepas kata-kata itu, Adlene melangkah pantas. Tiada lagi air mata yang mahu disekanya. Dia sudah cukup serik dengan tipu helah Adli dan serasanya dia, Adli tidak akan berasa sakit seperti dia kerana Adli punya banyak ganti untuk dirinya.

bersambung..


Thursday 15 March 2012

Tiada sudahnya kasih part 2

Adli membebel di dalam hati. Pusing kepala memikirkan hal-hal yang ada. Terngiang-ngiang lagi kata-kata yang diucap oleh Adelen. 

"Kalau Adli dah tak boleh nak bagi komitmen dengan Len, kita berhenti di sini saja Adli. Untuk meneruskan pun, ia tidak akan sampai ke mana-mana".

Sudah dicubanya berkali-kali, memastikan tidak ada aral yang melintang dan menjadi penghalang hubungan mereka tetapi, siapa tahu aturan hidup memang selalunya diuji. Lemah jiwanya bukan kepalang. Sekejap gagah dan sekejap lagi cair bila teringat akan Diana.

Gila begini! ujar Adli sambil memicit hidung mancungnya. Diana gadis cantik yang sangat lincah dan memberikan dia satu kelainan di dalam hidup. Menghampiri gadis itu umpama memberi semangat baru yang benar-benar menyegarkan. Dari saat itu dia sudah mula mengabaikan Adelena, kekasih hati yang dulu begitu disanjungnya. Dia memandang ke perhiasan di tepi katil. Ada bingkai gambar Adelena di situ, bertudung biru, senyum manis dengan jelingan manja. Adli rasa bersalah. Kesal yang tidak terkata.





Monday 13 February 2012

Cerpen 1: Tiada sudahnya Kasih



Dia seorang sahabat yang baik di mata aku. Di sepanjang usia persahabatan kami, aku selalu menganggap dia sebagai sumber kekuatan aku untuk terus berhidup. Dia menjadi bahu untuk aku sandarkan bila-bila air mata berlumba-lumba keluar dari kelopak mata. Kerana adanya sahabat seperti dia lah, aku masih tersenyum gembira hingga ke saat ini.

' Kau harus kuat Len, anggap saja setiap yang berlaku itu seperti angin yang berlalu dan bukan taufan yang melanda', ujar sahabat yang aku namakan dia Yani. Aku memandang jauh di hadapan, merenung ombak yang menghempas pantai. Kosong. Aku benar-benar tidak tahu untuk berbuat apa.

' Entahlah Yani, aku tidak mampu untuk menjadi seperti kau. Aku tidak sepositif kau. Dan, aku rasa nasib aku selalu tidak menyebelahi aku, Yan.' Ada sendu di hujung bicara aku. Payah sebenarnya menahan tangis supaya tidak terus pecah berderai. 

' Kau jangan beranggapan begitu Yan. Setiap yang berlaku tu ada sebabnya Len. Kau harus memandang semua perkara ni di sudut yang paling positif. Ada hikmahnya nanti.'  Tegas Yani sambil membetulkan selendang di kepalanya. Aku menoleh wajah yang mulus itu. Ayu. Dan, aku akui ada kebenaran di sebalik kata-katanya.

' Cakap memang senanglah Lin. Tapi, yang menanggung setiap rasa tu adalah aku, Yan. Aku sudah tidak sanggup lagi begini. Aku penat Yan. Hati aku sudah terlalu sakit dengan sikap dia.' Aku masih tidak mahu mengalah. Nada aku keras. Tapi, aku tahu Yani sudah lama mengerti sikap aku begini bila fikiran sudah terlalu sesak dengan masalah. Aku kuis pasir di hujung jari dengan ranting kecil.

' Baik, kalau macam tu, kau lupakan saja dia. Putuskan dia. Jangan kau perah lagi kepala kau dengan masalah begini. Kita masih muda, Len. Kalau dia pergi, aku pasti, hilang akan tumbuh berganti. Kau percaya saja pada Tuhan. Dia sudah aturkan sebaik-baik penceritaan untuk kita terus hidup'. Tutur kata dia halus, bersemangat tapi aku masih lagi begitu.

Yani terdiam. Lama dia merenung muka aku. Dia senyum. Aku tahu, dia cuba untuk membina keyakinan di hati aku. Dia tahu, hati aku sudah meremuk dengan sikap Adli, insan yang aku angankan untuk menjadi teman hidup aku. Dan, aku baru sedari yang dia punya sikap yang agak pelik belakangan ini. Kalau dia ada, dia akan selalu menjenguk dan menghubungi aku dan bila dia tiada, dia akan hilang seperti tiada khabar untuk kembali. Perangai dia membuat aku menjeruk rasa sendiri. Sampai hati kau, Adli.


Bersambung....


Sunday 12 February 2012

Mukadimah rasa cerita


Mukadimah:

Seumur yang begini, aku punya banyak impian yang masih lagi tertangguh. Salah satu daripadanya ialah aku selalu berangan untuk terus menulis sesuatu setiap apa yang pernah aku jalani, setiap apa pernah aku perhatikan dan setiap perkongsian cerita bersama-sama mereka yang dekat dengan aku. Di sini aku mahu berkarya. Memupuk rasa untuk terus menulis, mengasah minda untuk terus kreatif. Mungkin aku boleh katakannya sebagai cerpen yang akan selalu berkesinambungan ataupun terus tamat pada satu episod saja. Biar dengan setiap cerita ini, aku boleh rasa dan tunggu setiap hikmah yang akan datang selepas itu. Moga-moga ilham ini tidak pernah berhenti selagi aku masih menghembus nafas untuk kelansungan keberadaan aku sebagai manusia. 

Moga rezeki ini tiada hentinya